IPOH: Perak FC menunaikan janji untuk melakar kemenangan pertama dalam saingan Liga Super 2023 apabila menundukkan Kuching City FC 2-0 dalam perlawanan di Stadium Perak di sini hari ini.
Jaringan pada setiap babak oleh Seo Seonung membolehkan anak buah Datuk Lim Teong Kim menghadiahkan kejayaan kepada lebih 3,800 penyokong yang meraikan kejayaan pertama skuad Bos Gaurus.
Pada aksi di sini, perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan memiliki peluang membuat jaringan.
Namun, usaha tuan rumah akhirnya membuah ganjaran apabila Seo Seonung menjaringkan gol dengan bantuan Christian Obiozor pada minit ke-41.
Gol itu membangkitkan semangat melawan pasukan pelawat yang melancarkan serangan ke kubu Perak tetapi pasukan tuan rumah cekal bertahan
Peluang terbaik anak buah Irfan Bakti Abu Salim menjelma pada minit ke-44 tetapi bola rembatan Alif Hassan terkena palang.
Aksi babak kedua bersambung dengan Kuching City berusaha gigih memadam kelebihan Perak.
Begitupun, Seonung mempunyai lain idea apabila menjadikan kedudukan 2-0 dengan bantuan Faris Izdiham.pada minit ke-58
Malah Perak berpeluang menjaringkan gol ketiga tetapi peluang berakhir begitu sahaja apabila Obiozor berada pada kedudukan ofsaid pada minit ke-70. – UTUSAN