Perak FC tersingkir dari saingan Piala FA - Utusan Malaysia

Perak FC tersingkir dari saingan Piala FA

PEMAIN Perak FC, Christian Obiozor (dua dari kiri) cuba melepasi asakan pemain Sri Pahang FC dalam perlawanan Piala FA di Stadium Perak, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak FC ditunjuk pintu keluar daripada saingan Piala FA 2023 apabila tumpas 1-2 kepada Sri Pahang FC dalam perlawanan di Stadium Perak di sini hari ini.

Jaringan penalti pada minit akhir permainan oleh Stefano Brundo membolehkan Pahang pulang ceria, sekaligus layak ke pusingan kedua.

Sebaliknya, tuan rumah hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana pemainnya bertindak rakus hingga menyebabkan kekalahan itu.

Seperti ketika bertemu Kedah dalam perlawanan Liga Super pada 26 Februari lalu, Perak terpaksa meneruskan baki 23 minit perlawanan dengan 10 pemain apabila Muhammad Fadzil Idris diperintah keluar padang kerana mengutip kad kuning kedua.

Sehingga itu, Perak berada di hadapan melalui jaringan Christian Obiozor pada minit ke-34 dan pelawat sering kebuntuan idea mencari peluang untuk menjaringkan gol.

Skrip babak kedua menyaksikan anak buah Fandi Ahmad berusaha gigih untuk mencari gol penyamaan.

Namun, segala usaha mereka tidak berjaya sehinggalah tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 pemain.

Usaha Pahang akhirnya memadam kelebihan anak buah Datuk Lim Teong Kim apabila Abdul Malik Mat Ariff menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-82.

Apa yang dibimbangi Teong Kim menjadi kenyataan apabila lawan dihadiahkan sepakan penalti selepas Nasrol Amri menjatuhkan Muhammad Baqiuddin Shamsuddin.

Stefano Brundo yang mengambil sepakan mudah menjaringkan gol kemenangan Pahang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya