Penyu agar naik bertelur di Pantai Pandak, Chendering - Utusan Malaysia

Penyu agar naik bertelur di Pantai Pandak, Chendering

SEEKOR penyu agar mendarat untuk bertelur di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pemancing terkejut apabila terserempak dengan seekor ibu penyu yang naik bertelur di Pantai Pandak, Chendering di sini, malam tadi.

Hasbullah Haliba, 26 berkata, dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, dia bersama beberapa orang kawan ingin pergi memancing di sekitar kawasan tersebut.

“Tiba-tiba kami ternampak seekor penyu dengan anggaran berat 50 kilogram naik ke pantai untuk bertelur.

“Kami hanya memerhati sahaja dari jauh kerana tidak mahu ibu penyu itu berasa terganggu sepanjang proses bertelur.

“Setelah tiga jam kemudian, barulah ibu penyu itu kembali ke laut. Ini adalah pengalaman kali pertama saya melihat sendiri proses penyu bertelur di depan mata. Memang sangat teruja dan rasa bertuah kerana selama ini hanya melihatnya di kaca televisyen sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Sebuah video yang dirakam Hasbullah yang berdurasi 18 saat yang tular di media sosial mendapat perhatian warganet yang turut teruja melihat ibu penyu itu turun ke laut sebaik sahaja selesai proses bertelur.

Difahamkan ia adalah ibu penyu agar dan berdasarkan daripada video tersebut, proses bertelur telah berjaya kerana kelihatan banyak pasir atas karapasnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata,  pihaknya ada menerima laporan mengenai kehadiran penyu tersebut dan beberapa kakitangan telah pergi ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

“Kawasan tersebut adalah bukan kawasan pajakan dan sekiranya ada penemuan telur, ia akan diambil oleh jabatan untuk dieramkan sebelum dilepaskan ke perairan.

“Ketika ini, memang banyak ibu penyu akan naik ke daratan kerana musim bertelur telah tiba dan kita berharap orang ramai yang terjumpa spesies marin ini agar tidak mengganggunya.

“Laporkan segera penemuan penyu ini kepada Jabatan Perikanan untuk kita memantau kehadiran penyu ini sekaligus menyelamatkannya dari sebarang ancaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya