PETALING JAYA: Penyampai radio Nasional FM, Aliff Al-Faraby berkongsikan pengalaman mengerikan ketika bertugas di konti tersebut, baru-baru ini.
Kongsinya, dia pernah mendapat panggilan pendengar dengan suara mengilai-ngilai ketika bertugas pada waktu larut malam hingga awal pagi.
“Aku selalu ke udara pada pukul 12 tengah malam hingga pukul 6 pagi. Pernah dapat panggilan mengilai, pastu menangis kata dia dah mati.
“Aku hanya fikir dipermainkan tetapi agak seram bila ada yang telefon cakap seperti itu,” kongsinya di Facebook.
Aliff berkata, dia memberanikan diri ketika berdepan situasi yang meremangkan bulu roma itu dan berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku.
“Telefon pula masa pukul tiga ke empat pagi, jadi aku buat seperti biasa. Bukan setakat konti sahaja dihubungi, tetapi aku tiba-tiba bau sewangi-wanginya masa itu,” katanya.
Baru-baru ini, penyampai radio Era, Fazziq Muqris turut berdepan situasi menyeramkan apabila pendengar yang membuat panggilan tiba-tiba mengilai panjang di akhir perbualan.
Wanita itu berkongsi cerita selepas dirinya membeli beg, difahamkan dia tersalah jalan dan menyebabkan dirinya kemalangan sehingga memasuki gaung.
Pemanggil itu mula-mula menangis dan sedih kerana dia tidak dapat melunaskan hajatnya dan meminta Fazziq menolongnya.
Wajah Fazziq mula berubah serta sedikit terkejut kerana cerita wanita tersebut seakan-akan ingin memberitahu yang dirinya sudah tiada.
Difahamkan cerita yang disampaikan pemanggil wanita tersebut, berlaku sekitar tahun 1992 dan boleh jadi dia kini berusia 54 tahun.