PUTRAJAYA: Penjadualan semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 akan dilaksanakan pada 16 hingga 22 Mac ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, ia melibatkan calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan kerana terkesan dengan bencana banjir dan calon yang disahkan positif Covid-19.
Menurutnya, penjadualan semula calon yang terlibat akan diuruskan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Maklumat berkaitan tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan yang perlu diduduki akan dimaklumkan JPN kepada calon serta sekolah terlibat.
“Calon turut dinasihatkan untuk menghubungi talian bilik gerakan Lembaga Peperiksaan (LP) dan JPN di seluruh negara seperti di Lampiran bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, KPM akan terus memantau situasi banjir dan persediaan dari segi logistik, kesiapsiagaan pusat peperiksaan dan pelantikan petugas peperiksaan bagi memastikan penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera.
Sebelum ini sebanyak 17 pusat peperiksaan di Johor, Pahang dan Sarawak dikenal pasti terjejas susulan hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir sekali gus menjejaskan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022.
Ekoran itu, seramai 431 calon terkandas dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan berhampiran. – UTUSAN