GEORGE TOWN: Kira-kira 21 peniaga makanan dan minuman di tepi jalan di Batu Ferringhi di sini gusar memikirkan nasib masing-masing apabila gerai tempat mereka mencari rezeki mungkin dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada bila-bila masa.
Kesemua 21 unit gerai di tepi jalan itu sepatutnya dirobohkan MBPP semalam, namun para peniaga terbabit bernasib baik apabila menerima makluman tindakan itu ditangguhkan terlebih dahulu.
Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Batu Ferringhi, Mohd. Hisham Shah, 41, berkata, kesemua peniaga menerima notis pengosongan tapak perniagaan itu daripada MBPP pada 27 Januari lalu.
“Selepas menerima notis tersebut kami berasa tertekan dan susah hati, kami memang bergantung hidup dengan meniaga di tepi jalan ini sejak lebih 15 tahun lalu.
“Ada peniaga yang terima notis untuk kosongkan tapak ini dalam tempoh tujuh hari, ada yang perlu kosongkan dalam tempoh 21 hari, kami sangat gusar jika tidak dapat berniaga macam mana kami mahu sara kehidupan,” katanya ketika ditemui di Batu Ferringhi di sini semalam.
Menurutnya, kesemua peniaga juga sebelum ini pernah membuat rayuan kepada MBPP supaya dibenarkan berniaga di kawasan berkenaan, namun tiada maklum balas lanjut diterima sehingga kini.
“Kami telah berusaha untuk memohon lesen penjaja, namun MBPP tidak luluskan, dan tetap mahu merobohkan gerai kami.
“Kami sangat berharap dibenarkan untuk berniaga di sini seperti mana peniaga-peniaga di pasar malam Batu Ferringhi yang juga berniaga di tepi jalan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Mohd. Shukri Rojahan, 32, berkata, dia dan isterinya berniaga nasi ayam penyet di situ sejak 10 tahun lalu bagi menyara kehidupan mereka.
“Saya amat terkejut selepas menerima notis daripada MBPP supaya mengosongkan gerai di tapak ini, saya memang tidak punya pendapatan lain selain berniaga di sini.
“Saya dan peniaga lain berharap MBPP tidak merobohkan gerai kami, beri kami jalan untuk selesaikan perkara ini kerana ada banyak lagi lokasi peniaga dibenarkan berniaga di tepi jalan tanpa gangguan MBPP,” katanya.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia telah menghubungi Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang bagi mendapatkan komen berhubung isu berkenaan, namun tiada maklum balas diterima setakat ini. – UTUSAN