JEMPOL: Seorang peniaga perkhidmatan penghantaran hadiah mengejut (surprise delivery) di Bandar Seri Jempol, di sini, memohon maaf selepas merempuh enam buah gerai bazar Ramadan di sini pagi tadi.
Nur Shaliyana Abdullah, 34, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi ketika dia mahu meletakkan kenderaan untuk kedai sewanya yang terletak berhampiran.
“Saya rasa saya seperti sudah tekan brek tetapi sebaliknya pula yang berlaku dan kereta yang dipandu terus meluncur dan merempuh enam buah gerai.
“Mujur ketika kejadian peniaga bazar masih belum melakukan jualan dan selepas kemalangan ada peniaga lain membantu mengeluarkan saya.
“Peniaga tersebut turut membantu mengenal pasti pemilik gerai terlibat. Saya minta maaf dan akan membayar ganti rugi semua gerai yang rosak,” katanya ketika dihubungi.
Dia yang tidak mengalami sebarang kecederaan memberitahu, akibat rempuhan keretanya itu, empat khemah gerai patah manakala dua buah gerai mengalami kerosakan pada meja.-UTUSAN.