KUANTAN: Pengusaha bot nelayan kelas B dan C di sini menggesa kerajaan meneliti semula subsidi minyak diesel yang dikurangkan sejak 1 Januari lalu.
Wakil pengusaha, Lee Bing Quan, 31, berkata, bagi bot nelayan Kelas B, subsidi minyak dikurangkan kepada RM14,000 berbanding RM16,000 manakala bagi kelas C pula, subsidi dikurangkan dari RM20,000 kepada RM17,000.
Jelasnya, jumlah itu hanya memadai menampung satu trip untuk lebih 10 hari perjalanan menangkap ikan.
“Kebiasaannya kami melakukan dua trip perjalanan dengan setiap satu trip bagi bot nelayan kelas C menelan kos minyak sekitar RM10,000.
“Bila ada subsidi minyak RM20,000, dapatlah buat dua trip perjalanan, namun sejak subsidi dikurangkan, kami dapat melakukan satu trip dalam sebulan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan himpunan aman bersama 100 pengusaha bot nelayan daerah ini bertempat di depan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini semalam.
Disebabkan pengurangan itu, Bing Quan berkata, ia memberi kesan kepada pendapatan bukan hanya pengusaha bot, malah pekerja mereka.
Seorang lagi pengusaha bot nelayan, Ariping Mohd., 70, berkata, kesemua pengusaha bot nelayan bergantung sepenuhnya kepada subsidi diesel dan tidak dibenarkan untuk membeli diesel dari luar.
“Kami hanya boleh beli minyak ikut kuota subsidi diesel yang dikeluarkan. Jika kami membeli minyak di luar, kami akan dikenakan tindakan seperti lesen digantung,” katanya. – UTUSAN