PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pelik dengan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor bahawa majlis berbuka puasa di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor dibatalkan.
Sedangkan, katanya, tempahan lokasi majlis berbuka puasa anak Kedah di perantauan itu belum diluluskan.
“Pelik juga saya apabila Menteri Besar Kedah kata kelulusan sewaan dewan ditarik balik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedangkan Pengurusan Dewan MAEPS belum keluarkan apa-apa surat setuju terima. Sebut harga pun belum keluar.
“Lagi satu, macam mana MB boleh sebarkan dulu poster program sebelum lokasi telah disahkan sudah dapat? Biasanya sudah pasti baru kongsi,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Pada masa sama, Mohamad memaklumkan, program Anak Terengganu di MAEPS tidak mempunyai sebarang masalah dan berlangsung seperti dijadualkan.
“Oleh kerana Yang Amat Berhormat sudah kata program Anak Kedah akan dibuat di tempat lain (maka) kami kira tak jadilah nah. Kalau tak pasti, tolong jangan kongsi’,” katanya.

Semalam, media melaporkan, selepas mendakwa dihalang daripada menghadiri majlis-majlis kerajaan Persekutuan, Muhammad Sanusi tampil sekali lagi memaklumkan bahawa majlis melibatkannya turut ‘diganggu’.
Menurutnya, ia melibatkan kelulusan Dewan A, MAEPS di Serdang, Selangor yang sepatutnya dijadikan tapak lokasi Majlis Berbuka Puasa Anak-Anak Kedah Di Perantauan Bersama Menteri Besar pada 9 April ini, ditarik balik. – UTUSAN