GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga di pasar basah yang menggunakan alat penimbang berat mekanikal yang tidak tepat (timbang dua muka) untuk menipu pengguna.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya di hampir kesemua pasar basah di Pulau Pinang baru-baru ini menunjukkan pelekat penentu ukur pada beberapa alat penimbang berat tidak dipaparkan kepada pengguna.
Sedangkan jelasnya, pelekat penentu ukur itu perlu dilihat oleh pengguna supaya mereka pasti akan ketepatan alat penimbang berat itu dan jika ia sesuai untuk digunakan bagi perniagaan.
“Di samping isu pelekat penentu ukur, kami juga mendapati alat penimbang berat yang digunakan oleh kebanyakan peniaga adalah kurang memuaskan memandangkan jarum petunjuk tidak bermula daripada “0” (sifar) dan kadangkala jarum pada permukaan plastik yang telus itu juga kotor menyebabkan bacaan pada jarum itu menjadi sukar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohideen, para peniaga perlu menghantar alat penimbang berat mereka untuk penentuan ukur setiap tahun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
Ujarnya, pihak Kementerian perlu mempertimbangkan dengan serius untuk mencetak tahun penentu ukur dalam huruf terang yang besar pada pelekat penentu ukur untuk memudahkan pengguna membacanya.
Malah, kata beliau, para peniaga juga perlu diingatkan yang mana bahagian alat penimbang dengan pelekat penentu ukur perlu dipamerkan dengan jelas di depan pengguna.
“Pihak kementerian juga perlu memastikan bahawa setiap pasar mempunyai dua alat penimbang berat (satu daripadanya untuk digunakan bagi barangan halal) untuk pengguna mengesahkan berat barangan mereka jika mereka meraguinya.
“Nombor untuk dihubungi juga perlu disediakan di tempat alat penimbang berat supaya pengguna boleh menghubungi jika mereka mempunyai sebarang aduan berhubung kekurangan berat, kenaikan harga barangan utama atau amalan perniagaan yang tidak sihat,” katanya. – UTUSAN