Pengerusi Tetap UMNO Kubang Pasu letak jawatan

Pengerusi Tetap UMNO Kubang Pasu letak jawatan

ZULKIFLI Md. Isa menunjukkan surat peletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kubang Pasu ketika ditemui pemberita di sebuah restoran di Jitra.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kubang Pasu, Zulkifli Md. Isa meletak jawatan hari ini atas alasan haknya dinafikan bagi memastikan perjalanan pemilihan bahagian itu berjalan dengan adil, Sabtu lalu.

Menurut Zulkifli, percubaannya melakukan beberapa perkara sebelum dan sewaktu pemilihan berjalan bagi memastikannya ianya berlangsung secara adil tidak hanya diketepikan, malah turut tidak dipedulikan.

“Pertama saya cuba tetapkan agar pengundian dilakukan menggunakan pen merah agar dapat mengelak unsur penipuan yang mungkin melibatkan undian awal dimasukkan ke dalam kotak undi. Tetapi pihak tertentu hanya ucap terima kasih kepada saya dan maklumkan yang undi guna pen warna apa pun akan diterima.

“Kedua berkaitan lokasi peti undi diletakkan yang biasanya di depan perwakilan dan jawatankuasa agar tiada gangguan semasa sesi pengundian tetapi pada hari itu, ianya diletakkan di belakang. Saya tegur pihak berkaitan ambil tindakan tetapi tiada apa-apa yang dilakukan. 

“Kesudahannya apabila pengundian berjalan, ada penyokong serta ejen calon tertentu ganggu perwakilan ketika mengundi sehingga saya sendiri ditanya siapa yang saya undi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Zulkifli yang menang tanpa bertanding turut terkejut apabila melihat ‘cai’ pihak tertentu diletakkan di tempat mengundi sedangkan senarai-senarai yang diletakkan di tempat duduk perwakilan sudah diarahkan dibuang pada awal mesyuarat.

Beliau turut mendakwa ditipu apabila ada individu menyampaikan kepadanya kononnya jawatankuasa pemilihan UMNO Bahagian Kubang Pasu tidak membenarkan sebarang sesi pengenalan calon dibuat sebelum pengundian berlangsung.

“Tetapi apabila saya berjumpa individu terlibat dengan jawatankuasa pemilihan tersebut, barulah saya dimaklumkan bahawa arahan itu tidak wujud. Rupa-rupanya daripada 191 Bahagian UMNO di Malaysia, cuma Kubang Pasu tidak buat pengenalan calon dan individu itu guna nama jawatankuasa pemilihan UMNO untuk tipu saya,” katanya.

Oleh itu katanya, beliau terasa seperti dipergunakan dan hanya bertindak sebagai boneka menyebabkan beliau bertegas mengambil keputusan meletak jawatan walaupun dipujuk pelbagai pihak termasuk bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Johari Baharum agar terus menjalankan tanggungjawab itu.  

“Saya tak pertikai siapa yang menang dan kalah. Tetapi tak puas hati kerana ada pihak tertentu cuba guna kedudukan mereka untuk memastikan kemenangan satu-satu pihak dan menafikan hak pihak lain termasuk saya sendiri sebagai pengerusi tetap bagi memastikan pemilihan berlaku dengan adil.

“Setakat ini saya sudah beritahu Ketua UMNO bahagian, Datuk Aminuddin Omar mengenai peletakan jawatan ini dan beliau ambil maklum mengenainya. Malam ini insya-Allah saya akan emelkan surat ini kepada UMNO negeri dan pusat untuk pemakluman mereka,” katanya.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya