KANGAR: Kerja-kerja pengerukan alur pelayaran bagi laluan feri penumpang dari Kuala Perlis ke Langkawi di sini dijangka selesai sepenuhnya pada Mei depan sekali gus tidak menjejaskan penumpang untuk ke pulau peranginan itu khususnya sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23).
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan negeri, Izizam Ibrahim berkata, kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Laut telah dan sedang melaksanakan kerja-kerja pengerukan bagi mengatasi masalah mendapan selut di alur pelayaran itu dengan kos berjumlah RM26,578,450.
Katanya, kerja-kerja tersebut dilaksanakan bermula 21 Februari tahun lalu.
“Selepas selesai kerja-kerja tersebut, tiada halangan untuk syarikat perkhidmatan feri untuk merapat di terminal feri Kuala Perlis dan dijangka pengoperasian feri akan dapat ditambah.
“Perkhidmatan feri juga dijangka akan ditingkatkan bersempena dengan penganjuran LIMA ‘23 pada Mei depan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Abu Bakar Hamzah (PN-Kuala Perlis) berhubung langkah atau keputusan yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah perkhidmatan feri ke Langkawi yang hanya dapat beroperasi satu trip sehari berbanding tiga atau empat trip tahun lalu.
Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan, perkhidmatan feri yang tidak sekerap dulu berikutan masalah alur pelayaran cetek menyebabkan pengunjung yang menggunakan perkhidmatan feri di terminal Feri Kuala Perlis semakin merosot sehingga 70 peratus.
Walaupun ada pihak menyatakan pelancong tempatan tetap ke Langkawi, namun jumlahnya tidak sama seperti ketika feri disediakan setiap jam bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam setiap hari seperti sebelum ini.
Berikutan masalah tersebut, perkhidmatan feri di terminal tersebut juga sebelum ini pernah beberapa kali tergendala sekali gus memberi kesan terhadap sektor pelancongan.
Tambah Izizam, faktor utama masalah perkhidmatan feri Kuala Perlis ke Langkawi adalah disebabkan oleh keadaan alur pelayaran yang cetek yang dipengaruhi oleh fenomena pasang surut air.
“Perkhidmatan feri hanya selamat untuk beroperasi pada kedalaman air laut 1.6 meter dan ke atas.
“Sekiranya feri berlayar di bawah paras 1.6 meter ini akan memberikan risiko kepada feri seperti terkandas atau perkara-perkara lain yang tidak diingini dan seterusnya memberi kesan negatif kepada penumpang,” katanya.-UTUSAN