KUALA LUMPUR: “Maaf saya tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini,”
Itu reaksi diberikan pengarah filem Mentega Terbang, Khairi Anwar berhubung kontroversi yang melanda filem tersebut baru-baru ini.
Kata Khairi, dia tidak dapat memberi sebarang kenyataan tentang isu tersebut dan hanya akan berbuat demikian pada masa yang ditetapkan nanti.
“Buat masa ini tiada kenyataan yang boleh saya kongsikan. Saya dan pihak Viu akan keluarkan kenyataan nanti,” jelasnya.
Mentega Terbang mula ditayangkan 19 Januari lalu melalui platform penstriman berbayar Viu.
Jalan cerita filem berkenaan yang mengisahkan remaja Muslim bernama Aishah tertarik kepada agama yang mempercayai konsep kelahiran semula selepas kematian menjadi makhluk lain sebagai balasan telah mengundang kritikan dan hentaman pelbagai pihak.
Selain itu, salah satu babak yang menunjukkan ayah Aishah berfahaman liberal tidak menyekat anaknya itu murtad selepas mengkaji pelbagai kitab agama lain konon mencari jawapan turut dikritik netizen.
Dalam perkembangan berkaitan, tinjauan Utusan Malaysia mendapati filem berkenaan tidak lagi ditayangkan di platform tersebut.
Bagaimanapun, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan kenyataan pihak Viu berkenaan perkara tersebut, gagal. – UTUSAN