Penduduk takut diserang harimau - Utusan Malaysia

Penduduk takut diserang harimau

DUA penduduk melihat bangkai lembu dipercayai mati selepas diserang dua ekor harimau di Kampung Merbau Menyusut, Setiu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU : Seramai 380 penduduk  Kampung Merbau Menyusut di sini hidup dalam ketakutan setelah dua ekor harimau belang dikesan berkeliaran di sekitar kampung tersebut sejak Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Merbau Menyusut, Mohd. Zamri Embong berkata, dalam kejadian pada Selasa itu, tiga ekor lembu peliharaan penduduk mati dipercayai diserang haiwan liar itu.

Menurutnya, kelibat seekor harimau dan anaknya yang dianggarkan berusia enam bulan itu dilihat penduduk di kawasan tersebut  sebelum kejadian tersebut.

“Daripada tiga ekor lembu yang diserang itu, satu sempat disembelih, satu lagi mati dan satu lagi pula gagal ditemukan kerana bangkainya dipercayai diheret ke kawasan hutan berhampiran.

“Penduduk telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berhubung serangan tersebut dan difahamkan Perhilitan akan memasang perangkap pada petang ini.

“Kami memang sangat risaukan keselamatan penduduk terutama anak-anak kerana kawasan serangan itu berhampiran dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkap,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Tambahnya, kewujudan harimau itu pernah dilaporkan beberapa tahun lalu memandangkan perkampungan tersebut terletak berhampiran hutan namun tidak pernah menyerang manusia atau haiwan peliharaan.

“Bila dah berlaku serangan macam ni, memang kami agak trauma dan bimbang dengan kemungkinan ia kembali berulang. Tambahan pula  ramai juga penduduk yang memelihara haiwan ternakan seperti lembu dan kambing di kampung ini.

“Harapan kami, Perhilitan dapat menangkap harimau tersebut dan melepaskannya semula ke habitat asal secepat mungkin agar kami dapat meneruskan rutin harian seperti biasa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya