KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda maut setelah kenderaan dipandunya terbabas sebelum melanggar dua tiang lampu jalan di pembahagi jalan di Jalan Sultan Mahmud di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 2.11 pagi itu, Ahmad Amirul Amzar Ahmad, 20, dari Kampung Bukit Besar di sini, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, sepasukan sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati sebuah kereta jenis Proton Persona telah terbabas dan melanggar tiang lampu serta papan tanda jalan.
“Kami terpaksa menggunakan peralatan memotong ‘rescue toll’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya. – UTUSAN