IPOH: Pemilik sebuah syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjual 1,245 unit kasut menggunakan cap dagangan palsu , tahun lalu.
Poon Yoke Lee, 52, juga berdepan hukuman penjara satu bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dikenakan terhadap bapa kepada empat anak itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azizah Ahmad.
Mahkamah turut memerintahkan barang kes dilucut hak kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah Seksyen 127(2) Akta Cap Dagangan 2019.
Mengikut pertuduhan, Yoke Lee yang juga orang kena saman (OKS) didakwa mempunyai kawalan bagi maksud perdagangan iaitu sebanyak 1,230 unit kasut wanita pelbagai corak, saiz dan warna dan 15 unit kasut kanak-kanak perempuan jenama Evisu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di tingkat satu sebuah pasar raya di Ipoh pada pukul 12 tengah hari, 9 Jun 2022.
Kesalahan dilakukan OKS mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1)(i) akta sama.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan dipakaikan cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN, Muhammad Ridzuan Abd. Rahim manakala OKS diwakili peguam, Mohd. Khairul Fairuz Rahman.
Terdahulu, Mohd. Khairul memohon hukuman minimum dikenakan terhadap anak guamnya kerana lelaki itu perlu menanggung seorang isteri dan empat anak yang masih bersekolah dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3,000.
Tambah beliau, OKS juga mempunyai tunggakan sewa sebanyak RM234,000 membabitkan premis di pasar raya berkenaan bagi tempoh 2020 hingga 2021.
Bagaimanapun, Muhammad Ridzuan memohon hukuman denda sebanyak RM30,000 mengambil kira faktor kepentingan awam dan pengajaran selain barang kes dilucuthak kepada pihak kementerian.
OKS membayar denda berkenaan. – UTUSAN