IPOH: Polis meminta individu yang merakam gambar tular sebuah kereta mengandungi ‘vest polis’ yang didakwa menghalang lalu lintas supaya tampil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, individu terbabit dikesan bagi membantu polis mengenal pasti pemilik kereta jenis Proton Saga berwarna hitam itu.
“Kejadian dipercayai berlaku di Persiaran Brash berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo.
“Individu yang merakam gambar semasa kejadian diminta agar berhubung terus dengan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintenden Koo Boon Kuat di talian 016-4173222,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Terdahulu tular di media sosial gambar memaparkan sebuah kereta Proton Saga yang diparkir berlapis sehingga menghalang lalu lintas.
Gambar itu mendapat reaksi pelbagai warga maya yang mengecam pemilik kereta tambahan lagi selepas melihat ‘vest polis’ berada di papan pemuka kenderaan berkenaan. – UTUSAN