Pembinaan jambatan Sungai Sepang gembirakan penduduk

Pembinaan jambatan Sg. Sepang gembirakan penduduk Bukit Pelandok-Sungai Pelek

YEK Diew Ching (kanan) bersama penduduk menggunakan perkhidmatan bot penambang untuk menyeberang Sungai Sepang di Port Dickson dan Sungai Pelek, Selangor. – FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM160 juta bagi pembinaan jalan dan jambatan Su­ngai Sepang pada pembenta­ngan Belanjawan 2023 yang lalu, sudah tentu yang paling gembira adalah pendu­duk di Bukit Pelandok di sini dan di Sungai Pelek, Selangor.

Dijangka apabila siap jamba­tan dan jalan baharu itu nanti, ia akan memendekkan perjala­nan yang menghubungkan ke­dua-dua lokasi yang sebelum ini terpisah oleh sungai tersebut malah akan memberikan impak ekonomi kepada kedua-duanya terutama dalam aspek pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching berkata, selepas diumumkan, projek tersebut dijangka akan dimulakan dalam masa terdekat dan dibina di Kampung India, Bukit Pelandok sehingga ke Batu 4, Sungai Pelek, Selangor.

“Penduduk setempat memang menunggu projek jamba­tan ini kerana ia akan memudahkan banyak urusan mereka seperti untuk membeli barangan keperluan harian serta urusan di bank.

“Sebelum ini, terpaksa menggunakan jalan sedia ada yang lebih jauh dan akan mengambil masa lebih kurang 30 minit sehingga satu jam bergantung kepada lalu lintas. Bagi menjimatkan masa, mereka juga menggunakan perkhidmatan bot penambang sebagai alternatif untuk berulang-alik dari dua kawasan ini.

“Bagaimanapun, apabila jambatan ini dapat disiapkan, penduduk hanya memerlukan masa lima minit sahaja untuk menyeberang Sungai Pelek, ini pastinya pembangunan yang amat dinanti-nantikan kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jeti Pangkalan Nelayan Sungai Bawah (Penambang), Bukit Pelandok di sini semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat baru-baru ini berkata, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek berkaitan isu pelancongan dan kesesakan jalan raya yang telah menjejaskan lokasi tumpuan pelancong.

Ia termasuklah membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang dengan kos projek RM160 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya