DUNGUN : Seorang pemandu lori kontena maut selepas lori muatan kargo yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 372.1, di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Bukit Besi, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi, mangsa, Ibrahim Md. Zali, 52, yang berasal dari Taman Bukit Bendera, Mentakab, Pahang, meninggal dunia di tempat kejadian ekoran cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Baharudin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila lori kontena jenis Hino yang dipandu mangsa dari arah Kuantan ke arah Kuala Terengganu yang berada di lorong kiri, secara tiba-tiba telah masuk ke lorong kanan lebuh raya.
“Dalam masa yang sama, sebuah lori tangki jenis Jithra muatan diesel yang berada di lorong kanan, tidak sempat membrek lalu terlanggar bahagian belakang lori yang dipandu Ibrahim.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan lori yang dipandu Ibrahim telah melanggar besi penghadang jalan di tengah-tengah sehingga terbalik dan melintang di atas jalan,” katanya di sini, hari ini.
Baharudin berkata, lori tangki tersebut kemudiannya hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri sebelum terbabas ke dalam gaung.
“Pemandu lori tangki iaitu Amir Firdaus Che Abdullah yang berusia 24 tahun dan berasal dari Pulai Chondong, Kelantan mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri dan patah pinggang,” katanya.
Baharudin berkata, mangsa yang tercedera dibawa ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan manakala mayat mangsa telah dibawa ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN