Pekerja kedai pakaian dipenjara 10 bulan miliki wang palsu RM100, RM20 - Utusan Malaysia

Pekerja kedai pakaian dipenjara 10 bulan miliki wang palsu RM100, RM20

SEORANG wanita dan dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, George Town, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memiliki serta menggunakan wang palsu. - Pix: IBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Gara-gara memiliki wang palsu bernilai RM1,860, seorang pekerja kedai pakaian dikenakan hukuman 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Norhayati Talib, 28, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan bersama dua lagi tertuduh di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

Dua lagi tertuduh iaitu pekerja hotel, Zuhan Khan Mohamed Ali, 53, dan seorang peniaga, Mohd. Kadrie Kamarulzaman,41 bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama mempunyai dalam milikan 18 keping wang palsu RM100 dengan nombor siri AH8860569 dan tiga keping wang kertas palsu RM20 dengan nombor siri CR0312132.

Tertuduh didakwa menyedari wang tersebut adalah palsu dan kesalahan itu didakwa dilakukan pada 20 Mac lalu, kira-kira pukul 4.30 petang di bilik nombor 10, di sebuah motel di Batu Ferringhi di sini dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 489 C Kanun Keseksaan.

Di mahkamah yang sama, Zuhan Khan dikenakan satu lagi pertuduhan iaitu memiliki lapan keping wang kertas palsu RM100 dengan nombor siri DQ0520086, enam keping kertas wang palsu RM100 dengan nombor siri AH8860569 dan satu keping wang palsu RM20 dengan nombor siri CR30312132 dengan mengetahui wang tersebut adalah palsu dan supaya boleh digunakan sebagai tulen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik nombor 4, di sebuah motel di Batu Ferringhi di sini, pada 20 Mac lalu, kira-kira pukul 4.30 petang.

Bagaimanapun Zuhan Khan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibuat mengikut Seksyen 489 C Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Terdahulu, peguam yang mewakili Norhayati, Cheah Eng Soon meminta mahkamah mengurangkan hukuman terhadap Norhayati memandangkan dia telah mengaku bersalah dan menjimatkan masa mahkamah.

Selain itu, Eng Soon juga meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan yang dikenakan terhadap Zuhan Khan dan Mohd. Kadrie.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan itu adalah serius.

Majistret Nur Melati Diana kemudian menetapkan Zuhan Khan diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi dua pertuduhan manakala Mohd. Kadrie dikenakan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin selain mereka perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Nur Melati Diana turut menetapkan 16 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Zuhan Khan turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan menggunakan wang palsu RM100 yang didakwa dilakukan pada 11 Mac lalu, di kedai serbaneka di Batu Ferringhi di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 489 B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chew Qi Wei manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Mazdi Abdul Hamid kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dan kes disebut semula 12 Mei depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya