Pasangan kekasih aktif menyamun tumpas - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih aktif menyamun tumpas

TAN Cheng San (dua dari kiri) menunjukkan antara barangan dirampas daripada pasangan peragut yang berjaya ditahan polis dalam sidang akhbar di IPD SPT, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Kegiatan sepasang kekasih yang aktif melakukan jenayah ragut sejak awal Januari lalu berakhir selepas kedua-duanya dicekup dalam serbuan berasingan baru-baru ini.

Suspek utama berusia pertengahan 30-an ditahan kira-kira pukul 6 pagi di Penang Sentral, di sini Isnin lalu, manakala teman wanitanya berusia awal 20-an ditangkap di Juru, kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Difahamkan, suspek utama menaiki bas ekspres dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan dipercayai baru selesai ‘makan angin’ selepas berjaya menggadaikan hasil samun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek utama akan mencari peluang dengan meronda bersendirian menunggang motosikal jenis EX5.

“Suspek kemudiannya berpura-pura bertanyakan arah sebelum merentap rantai emas yang dipakai mangsa.

“Teman wanitanya pula ditugaskan untuk menjual hasil samun kepada kedai emas dan pajak gadai, malah turut menerima upah sebanyak RM200.

“Penahanan kedua-dua suspek ini berjaya menyelesaikan tiga kes ragut di daerah SPT dan satu kes di Kulim, Kedah membabitkan barangan kemas bernilai RM6,000,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan mendapati suspek utama yang juga pekerja kilang positif dadah selain turut mempunyai tujuh kesalahan lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Sementara itu, katanya, teman wanitanya pula bekerja sebagai tukang urut dan disahkan negatif dadah tetapi mempunyai empat kesalahan lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Suspek lelaki direman sehingga 6 Mac manakala teman wanitanya direman sehingga 7 Mac ini,” katanya.

Jelas beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Tambahnya, tiga pemilik kedai emas dan pajak gadai yang berusia lingkungan 60-an hingga 70-an turut ditahan bagi membantu siasatan kerana memiliki barang curi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya