Pas Terengganu diingat jangan terlalu yakin menang 32 DUN - Utusan Malaysia

Pas Terengganu diingat jangan terlalu yakin menang 32 DUN

AHMAD RAZIF ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abdul Rahman mengingatkan pemimpin Pas supaya tidak terlalu yakin dapat memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus berkata, pemimpin Pas tidak boleh memandang mudah kemampuan UMNO kerana parti itu sebenarnya masih relevan dan diterima rakyat serta mampu melakukan kejutan pada PRN akan datang.

Menurutnya,  Pas dan sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh meletakkan harapan tinggi tersebut semata-mata berdasarkan pencapaian dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Ini kerana, katanya, rakyat mula menyedari Pas menggunakan wang secara berleluasa dan menyalahgunakan media sosial secara tidak bertanggungjawab dengan memfitnah pemimpin UMNO pada kempen PRU15 itu.

“Ini adalah antara punca yang menyebabkan kekalahan kepada pihak UMNO dan Insya-Allah apa yang berlaku itu akan menjadi panduan kepada kita menghadapi PRN tidak lama lagi dan rakyat juga mula membuka mata,” katanya ketika ditemui di Pejabat UMNO Bahagian Kuala Nerus di Batu Enam di sini, hari ini.

Ahmad Razif yang juga Ahli DUN Seberang Takir berkata, sejarah juga telah tercipta di negeri ini apabila pemimpin Pas terlebih yakin mampu memenangi 32 kerusi dalam PRU tahun 2004, namun parti itu hanya mendapat kemenangan di empat DUN sahaja.

“Sebelum PRU itu, pimpinan parti itu terlebih yakin mampu menawan 32 kerusi DUN sekaligus mengetuai kepimpinan negeri, namun keputusan PRU tersebut didapati parti gagal mencapai kemenangan besar,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, beliau mendapati golongan muda semakin menaruh keyakinan kepada kepimpinan UMNO bagi membela masa depan mereka apabila mula mendekati semula UMNO.

Jelasnya, keadaan itu terbukti apabila ramai dalam kalangan anak-anak muda yang mempunyai kelulusan tinggi dan berjaya dalam kerjaya masing-masing tampil menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan saya-sayap UMNO di peringkat bahagian termasuk di Kuala Nerus.

“Perkembangan tersebut sesuatu yang membanggakan apabila masih ramai anak muda yang mahu bersama-sama UMNO dalam memperjuangkan nasib mereka,” tambahnya.

Pada PRU14 lalu, BN Terengganu berjaya memenangi 10 daripada 32 kerusi DUN manakala Pas pula menawan 22 kerusi.

Selain Terengganu, terdapat lima negeri lain yang belum mengadakan PRN iaitu Kelantan,Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya