KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa 2 dijangka diagihkan awal bulan depan sebelum sambutan Aidilfitri.
Katanya, Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan sudah dimaklumkan untuk menyegerakan perkara itu bagi memastikan rakyat khususnya kumpulan yang memerlukan menerima bantuan itu.
“Seperti yang disebutkan, STR fasa 1 sudah diedarkan dan sampai kepada rakyat yang berjumlah RM1.6 bilion, itu pada bulan Januari lalu.
“Saya sudah memberitahu Kementerian Kewangan dan agensi terlibat supaya meringankan mereka (golongan memerlukan) dengan bantuan STR fasa 2 yang harus diselesaikan pada pertengahan Ramadan atau awal April sebelum raya.
“Kita akan keluarkan fasa dua ini untuk golongan B40 mendapat STR,” jelasnya semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Perkara itu dijelaskan susulan soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari (PH) yang minta Ahli Parlimen Tambun itu menyatakan penambahbaikan kepada sumbangan itu berbanding bantuan diberikan sebelum ini.
Menurut Anwar, penambahbaikan itu dapat dilihat dalam Belanjawan Madani 2023 yang dibentangkan 24 Februari lalu, menerusi STR maksimum sehingga RM3,100 walaupun Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) berjumlah RM2,500 masih diagihkan.
“Adanya perincian, isi rumah, lima anak atau tiga anak dan kadar tambahan yang penting iaitu untuk miskin tegar, tambahan RM600 berbanding peruntukan awal.
“BKM pula, ibu bapa tunggal mempunyai anak dan warga emas RM500, untuk ibu bapa tunggal dan untuk warga emas sebanyak RM300,” katanya. – UTUSAN