KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) yang diperkenalkan kerajaan sepatutnya menggunakan bahasa Melayu, bukan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris.
Tegas Datuk Che Zulkifly Jusoh (PN-Besut), bukan semua rakyat memahami Bahasa Inggeris, sekali gus ia boleh menyebabkan kekeliruan serta tidak difahami dari sudut undang-undang.
“(Saya) bantah (RUU) dibuat dalam bahasa Inggeris kerana undang-undang digunakan untuk semua rakyat. Kalau rakyat baca dalam bahasa Inggeris dan tidak faham, mereka tidak tahu hak mereka di sudut undang-undang.
“Bukan semua rakyat faham bahasa Inggeris,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Che Zulkifly sebelum itu digantung Dewan Rakyat tiga hari mulai hari ini setelah mengingkari arahan Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd. Nor supaya duduk.
Ketika itu, beliau mencelah persoalan yang dibangkitkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung kerajaan menyediakan dua rang undang-undang yang mempunyai Bahasa Inggeris.
Che Zulkifly dalam masa yang sama turut berkata, tindakan dihalau dari Dewan Rakyat bukan masalah besar baginya kerana beliau boleh memberitahu pembuat undang-undang supaya RUU dibuat dalam bahasa Melayu.
“Tidak tahu apa agendanya. Kenapa tidak boleh ditarik balik dan dibentang semula, dibahaskan.
“Saya rasa tak ada masalah besar dalam (perkara) ini. Ini mungkin masalah teknikal asalnya tetapi itulah nak jelaskan tujuan saya bantah kejap tadi kerana (yang) dalam versi bahasa Melayu tak sepenuhnya dalam bahasa Melayu,” katanya. – UTUSAN