KUALA LUMPUR: Bagi meneruskan semula program MyBrain 15, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengemukakan permohonan peruntukan menerusi Rolling Plan ke-4 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, KPT akan membuat permohonan peruntukan itu sekali lagi untuk meneruskan program biasiswa berkenaan setelah tidak diluluskan ketika kementerian itu memohon di bawah Rolling Plan 1, 2 dan 3 RMK12.
“KPT telah melaksanakan dua program MyBrain iaitu MyBrain 15 dan MyBrain Sains. MyBrain 15 terbuka kepada pelbagai bidang pengajian di peringkat sarjana dan PhD yang telah dilaksanakan bermula 1 Disember 2010 di bawah RMK10 dan RMK11 dengan penawaran terakhir program MyBrain 15 ini pada 2016.
“Program MyBrain Sains pula dilaksanakan pada 2012 dengan penajaan di peringkat ijazah pertama hingga pascasiswazah dalam bidang sains tulen sahaja dan program ini masih dilaksanakan hingga kini,” katanya di Dewan Negara semalam.
Terdahulu, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk membuka semula permohonan biasiswa MyBrain kepada calon-calon daripada pelbagai bidang selain sains tulen.
Mengulas lanjut mengenai perkara ini, seramai 3,886 pelajar tajaan MyBrain yang telah didapati gagal dalam pengajian mereka.
“Pelajar tajaan MyBrain dikehendaki menandatangani perjanjian penajaan antara pelajar dengan kerajaan, dalam hubungan ini apabila pelajar didapati gagal dalam pengajian, mereka akan dikenakan tuntutan ganti rugi berdasarkan kos sebenar yang telah dikeluarkan oleh kerajaan sepanjang pengajian,” katanya. – UTUSAN