KUALA LUMPUR: Langkah-langkah kerajaan dalam mengatasi masalah kesihatan mental yang dialami golongan muda dan warga emas di Malaysia antara yang menjadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini.
Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dijangka bertanya soalan itu kepada Menteri Kesihatan menerusi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pukul 10 pagi ini.
Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) akan meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan jika kerajaan berhasrat melaksanakan pemberian subsidi perumahan kepada pembeli rumah pertama dalam kalangan rakyat golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan pertengahan (M40).
Beliau juga akan bertanya jika kerajaan akan memperluas Skim Pembiayaan Rent-To-Own (RTO) kepada semua pembeli rumah pertama tidak terhad kepada pembeli kediaman projek perumahan PR1MA sahaja.
Bagaimanapun, sesi pertanyaan bagi jawab lisan itu akan didahului dengan soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) kepada Menteri Dalam Negeri menyatakan rancangan kerajaan untuk menambah baik infrastruktur dan kemudahan serta memperkasa tenaga kerja di kompleks-kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia termasuk CIQ Lubok Antu.
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) pula meminta Menteri Pengangkutan menyatakan solusi untuk pengusaha-pengusaha perkhidmatan sewaan kenderaan mikromobiliti yang terjejas pendapatan akibat penguatkuasaan undang-undang larangan penggunaan kenderaan mobiliti di jalan raya.
Semalam, seramai 167 ahli Parlimen selesai membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi peringkat dasar di Dewan Rakyat.
Sesi perbahasan itu berlangsung enam hari bermula 27 Februari lalu, selepas Belanjawan 2023 dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 24 Februari lalu.
Sebelum menangguhkan sidang dewan pada pukul 10.40 malam tadi, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor mengucapkan tahniah kepada semua ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan.
Persidangan Dewan Rakyat hari ini diteruskan dengan sesi penggulungan oleh setiap kementerian selama dua hari bermula esok. –utusan