Parlimen: IKBN dicadang letak di bawah Kementerian Sumber Manusia - Utusan Malaysia

Parlimen: IKBN dicadang letak di bawah Kementerian Sumber Manusia

INSTITUT Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tanah Merah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) kini dalam pertimbangan untuk diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan berkenaan dibuat ketika mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia di bangunan Parlimen, hari ini.

Katanya, institut itu sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan, bagaimanapun peruntukan untuk kementerian tersebut tidak akan dikurangkan bagi memberi fokus secara berterusan kepada golongan belia menerusi program dan aktiviti yang lain.  

“Saya setuju dengan cadangan itu kerana pembangunan belia ini jangan ambil mudah dengan kepentingan mereka termasuk pembiayaan aktiviti persatuan belia.

“Kita mahu juga keterlibatan belia dari segi umur sudah rendah, kita tahu di tingkatan tiga akan layak jadi pengundi pada empat, lima tahun lagi, jadi kita mesti menyantuni kehendak mereka,” katanya di Parlimen hari ini.

Mesyuarat berkenaan dihadiri 29 wakil kementerian yang hadir di mana kali terakhir mengadakan mesyuarat itu adalah pada 2018.

Setakat ini, sebanyak 22 IKBN telah wujud di seluruh negara dengan bertujuan untuk melatih golongan belia memperoleh kemahiran teknikal dan boleh bekerja dengan sektor swasta mahupun bekerja sendiri.

Secara dasar, kursus latihan kebiasaannya mengambil masa di antara 18 hingga 36 bulan mengikut bidang kemahiran.

Mengenai soal pengangguran, Ahmad Zahid berkata, meskipun trend menunjukkan pengurangan, tetapi semua pihak harus menggembleng tenaga dalam meletakkan sifar pengangguran khususnya dalam kalangan golongan berkenaan.

“Soal pengangguran walaupun berlaku penurunan, usaha itu biarpun berjalan, tetapi Perdana Menteri berhajat untuk mewujudkan sifar miskin terutama golongan berpendapatan di bawah garis kemiskinan tegar, belia juga tidak terlepas daripada kumpulan tidak bekerja, terdiri daripada separuh pengangguran dan pengangguran penuh, ia terkait dengan beberapa program untuk belia dari segi jangka sederhana dan panjang,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta membentangkan data terkini membabitkan belia dan masalah sosial serta kesihatan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia akan datang.

Jelasnya, ia bagi membolehkan semua kementerian melakukan intervensi berdasarkan data terkini dan tidak lagi membuat keputusan bersendirian atau secara ‘silo’.

“Dalam mesyuarat akan datang, kita minta kementerian terutama KKM dan KDN membentangkan data terkini membabitkan belia dan masalah sosial serta kesihatan.

“Ini supaya kementerian lain boleh membuat intervensi bertepatan dengan data terkini dan kita mahu setiap masalah ini ditangani melalui koordinasi antara semua kementerian,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya