KUALA LUMPUR: Penangguhan sementara pengambilan pekerja asing ke Malaysia adalah bertujuan mengelakkan ‘kebanjiran’ mereka dalam negara.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, langkah itu diputuskan Kabinet sebelum ini dan kementeriannya setakat ini hanya meneruskan kelulusan yang telah diberi kepada majikan.
“Memang kita terima banyak aduan, bila luluskan kuota, berlaku kes yang mana bila pekerja sampai ke negara ini, ada yang tidak diambil di lapangan terbang. Ada juga kes yang dah luluskan kuota, tetapi majikan minta kurangkan kuota yang diminta.
“Jadi Kabinet telah putuskan tangguhkan dulu immediate solution keluluskan warga asing ini supaya majikan yang diluluskan ini bawa masuk dulu. Jika tidak, ia akan berlaku kebanjiran, proses kelulusan kuota itu tidak menepati keperluan sebenar industri,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Chow Kon Yeow (DAP-Batu Kawan) dalam soalan tambahan meminta kementerian menjelaskan adakah terdapat kepincangan yang dikesan sewaktu pemindahan kuota kepada pihak ketiga.
Mengulas lanjut, Timbalan Menteri itu turut berkata, setakat ini terdapat lapan buah negara yang masih membekalkan tenaga buruh ke negara ini iaitu Bangladesh, Republik China, Indonesia, Pakistan, Vietnam, Thailand, Nepal dan Kemboja.
Selain lapan negara berkenaan, kerajaan juga telah memuktamadkan memorandum persefahaman dengan kerajaan India pada 13 Mac 2023 dan dijangka dapat dimeterai sebelum berakhirnya pada suku pertama tahun 2023. – UTUSAN