KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur belum dimuktamadkan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan kini meminta anggaran kos projek berkenaan diturunkan lagi yang mana projek tersebut pada asalnya bernilai dalam anggaran RM50.2 billion.
“Ada pandangan ia boleh diturunkan sehingga RM45 bilion, kita tunggu cadangan mengenainya. Jarak MRT3 adalah 50.8 kilometer supaya dapat melengkapkan lingkaran (rel) itu. Jika tidak buat MRT3, kita tidak dapat melaksanakan keseluruhan perjalanan itu,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
MRT3 Laluan Lingkaran dikatakan bahagian terakhir yang penting bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur dengan jajaran yang melalui sepanjang perimeter bandar raya.
Ia mengelilingi Kuala Lumpur melalui kawasan berkepadatan tinggi termasuk Setiawangsa, Titiwangsa, Mont Kiara, Pantai Dalam dan Pandan Indah.
Terdahulu, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) meminta penjelasan sama ada Kementerian Kewangan akan membuat kajian perbandingan impak antara MRT3 dan BRT, mengambil kira faktor penggunaan perkhidmatan dan kos. – UTUSAN