KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (PH) minta supaya Dewan Rakyat mengadakan satu sidang khas untuk membincangkan mengenai ketirisan RM3 bilion yang dilaporkan Jabatan Audit Negara.
Menurut Tze Tzin, laporan tersebut yang kini diedarkan dalam bentuk ‘soft copy’ kepada ahli-ahli Parlimen tidak boleh dibuka.
“Saya minta parlimen adakan satu sesi khas untuk bahas mengenai jumlah RM3 bilion ini. Kita sedang bercakap mengenai jumlah yang besar. Kita tidak boleh sia-siakan kerana ini soal RM3 bilion yang akan berlalu tanpa perdebatan.
“Perdana menteri pernah mengatakan bahawa atas ketirisan jumlah RM3 bilion telah dilaporkan di dalam Laporan Audit Negara tetapi kita sekarang terima laporan itu dalam thumb-drive atau pemacu pena dan ramai antara ahli-ahli parlimen tidak dapat membuka untuk membaca.
“Dulu kita dapat dalam bentuk buku dan kita ada masa untuk baca dan sebagainya. Jadi saya harap Jabatan Audit Negara boleh kembalikan dalam bentuk buku supaya kita boleh baca,” katanya di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu media beliau mengenal pasti ‘kebocoran’ kewangan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion pada Januari lalu.
Bagaimanapun, isu itu belum dibincangkan dengan lebih terperinci dan mendalam bagi peringkat Dewan Rakyat.
Tze Tzin juga berharap supaya Jabatan Audit Negara boleh turut serta sekiranya Dewan itu membenarkan persidangan khas tersebut.
“Saya harap Yang Dipertua boleh mengadakan sesi khas. Mohon bincang dengan menteri-menteri. Saya minta untuk kita bincang termasuk dengan Jabatan Audit Negara,” katanya. – UTUSAN