PUTRAJAYA: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyokong tindakan kerajaan membekukan kelulusan pekerja asing untuk sementara waktu sehingga kemasukan tenaga kerja itu dapat dikawal khususnya dari Bangladesh.
Setiausaha Agungnya, Dr. Sukumaran Nair berkata, tindakan itu sekali gus dapat menyekat kuasa monopoli pihak tertentu dengan mengenakan kos perekrutan tinggi, mengehadkan agensi pekerjaan, mengenakan pelbagai sekatan seperti pelaksanaan Sistem MIGRAMS.
Katanya, Sistem MIGRAMS itu mengenakan kos sebanyak RM100 untuk setiap pendaftaran setiap pekerja untuk kemasukan ke negara ini dengan hanya enam agensi pekerjaan Bangladesh dibenarkan merekrut pekerja.
“Sistem MIGRAMS ini dimonopoli enam agensi pekerjaan Bangladesh sahaja setakat ini yang mana hampir satu juta kelulusan oleh Kementerian SUmber Manusia membawa masuk pekerja adalah di bawah kendalian mereka.
“Anehnya, pembayaran ini dikenakan hanya untuk pekerja Bangladesh yang dibayar melalui e -wallet antarabangsa oleh agensi-agensi pekerjaan Bangladesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sukumaran, jika sistem monopoli ini tidak disekat serta-merta, sasaran kemasukan pekerja asing dijangka mengambil masa terlalu lama.
Justeru, PAPSMA mencadangkan supaya pengrekrutan dari negara Bangladesh dibekukan serta-merta sehingga satu pencapian adil dapat diselenggarakan oleh kedua-dua kerajaan.
Katanya, ini bagi memastikan pekerja tidak dianiaya tanpa jaminan kerja selepas kemasukan mereka ke negara ini.
“PAPSMA memohon kepada Kementerian mengambil tindakan serius dan mengkaji struktur dan protokol lebih professional bagi membendung gejala melambakkan pekerja asing di negara ini jika keadaan ini berlarutan,” katanya. – UTUSAN