PAKAR bantu SPRM didik masyarakat perangi rasuah

PAKAR bantu SPRM didik masyarakat perangi rasuah

AZAM Baki bersalaman dengan Shamsun Baharin Mohd Jamil (kanan) pada Majlis Pelancaran PAKAR di Menara SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR) akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendidik masyarakat tentang bahayanya rasuah.

Presidennya, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, penubuhan PAKAR juga diharap dapat membantu SPRM membentuk masyarakat berintegriti tinggi.

Beliau berkata, pihaknya sedia maklum bahawa SPRM mempunyai kekangan tenaga kerja yang terhad, justeru kerjasama ini diharap dapat membantu.

“Kami difahamkan, anggota SPRM yang terlibat dalam sektor pencegahan adalah sekitar 300 orang sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis Mesyuarat Agung PAKAR yang disempunakan pelancarannya oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Katanya, beliau berharap kehadiran PAKAR akan sedikit sebanyak membantu SPRM menyebar luas maklumat dan mendekati masyarakat agar tidak terjebak dengan rasuah.

Shamshun Baharin berkata, PAKAR akan dikembangkan di seluruh negara termasuk membuka cawangan-cawangan di peringkat negeri.

Katanya, keahlian PAKAR terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat yang ikhlas berjuang memerangi amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Bagaimanapun, jawatan tertinggi PAKAR pusat terutama Presiden, Timbalan Presiden serta Naib Presiden harus diisi oleh mereka yang terdiri daripada bekas pegawai tertinggi SPRM sebelum ini bertujuan memastikan PAKAR mencapai matlamat dan objektif penubuhannya.

Dalam pada itu, Shamshun Baharin berkata, PAKAR juga tidak akan bertindak sebagai kumpulan pendesak sebaliknya membantu menjayakan usaha kerajaan memerangi rasuah.

“Kita mahu menjadikan Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai integriti tinggi, bukannya kerana banyaknya rasuah atau amalan salah guna kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya