PETALING JAYA: Perbuatan tidak bermoral seorang buruh binaan kerana mencuri dua helai seluar dalam seorang wanita akhirnya mengundang padah apabila dia didenda RM2,400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan denda itu terhadap Liew Chee Hong, 45, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.
Sekiranya tertuduh gagal membayar denda, dia boleh dipenjara tiga bulan dan tertuduh menjelaskannya.
Mengikut pertuduhan, Chee Hong didakwa mencuri dua helai seluar dalam milik seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah rumah di Bandar Sri Damansara, di sini pukul 6 petang pada 23 Februari lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan kerana dia bekerja sambilan tanpa pendapatan tetap.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md. Kamal memohon hukuman setimpal bagi memastikan tertuduh tidak mengulangi perbuatan itu.
Semalam, media melaporkan kegiatan seorang lelaki tempatan menceroboh kawasan perumahan untuk mencuri seluar dalam wanita terbongkar selepas ditangkap pihak polis minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan insiden tersebut pada minggu lalu sekitar pukul 6.44 petang. – UTUSAN