PETALING JAYA: Co-opbank Pertama (CBP) merasmikan Outlet Ar Rahnu yang pertama di KL Traders Square, Kuala Lumpur.
Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, Ar Rahnu CBP itu adalah outlet stand-alone pertama CBP dan dijadikan sebagai projek rintis untuk melihat kesesuaian dan keberkesanannya.
“Dengan adanya outlet ini, ia dapat membantu CBP untuk meluaskan lagi capaian sasaran pelanggan kepada masyarakat yang berada di sekitar Gombak.
“Outlet ini mampu untuk bersaing dengan operator-operator Ar Rahnu yang ada di kawasan sekitar ini kerana kita menawarkan kadar pembiayaan maksimum sehingga RM350,000 dan had pembiayaan harian sehingga RM300,000.
“Dengan kelebihan ini, saya melihat Ar Rahnu CBP mampu bersaing secara sihat dengan yang lain,” katanya.
Baharom berkata, susun atur dan reka bentuk outlet itu akan digunakan bagi pembukaan-pembukaan outlet Ar Rahnu pada masa akan datang.
“Sebagai sebuah institusi kewangan yang turut berdepan dengan cabaran-cabaran tersendiri, CBP tetap komited memastikan setiap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah berlandaskan Syariah demi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat,” katanya. – UTUSAN