KUALA TERENGGANU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) optimis jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menangani masalah ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel akan menunjukkan keberhasilannya yang positif dalam tempoh enam bulan lagi.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, enam bulan adalah satu tempoh yang munasabah untuk melihat keberkesanan strategi dan tindakan susulan yang akan dilakukan oleh jawatankuasa khas tersebut.
Menurutnya, jawatankuasa khas itu yang terdiri daripada pelbagai kementerian dan agensi yang lengkap dengan aset-aset keselamatan pasti akan memberi impak yang positif dan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Walaupun KPDN sendiri mempunyai unit penguatkuasaan yang terdiri daripada 2,100 anggota, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk membanteras ketirisan diesel yang berlaku ketika ini.
“Kita tak ada aset dan kelengkapan keselamatan…sebab itu perlu ada operasi bersepadu yang melibatkan banyak kementerian dan agensi lain seperti yang ada dalam jawatankuasa khas ketika ini.
“Saya cukup puas hati (dengan penglibatan banyak kementerian serta agensi) dan yakin masalah ketirisan ini akan dapat ditangani dengan segera dan berkesan. Tempoh enam bulan adalah munasabah untuk kita lihat keberkesanannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Kepenggunaan dan Penyampaian Sumbangan Kembali Ke Sekolah kepada 200 murid dari daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu di Primula Beach Hotel hari ini.
Antara agensi yang terlibat dalam jawatankuasa khas untuk menangani ketirisan diesel itu yang mencecah nilai hampir RM10 bilion pada tahun 2022 adalah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Selain itu ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerak Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Mengulas lanjut, beliau berkata pengalamannya dalam kabinet sebelum ini telah membuktikan tempoh enam bulan adalah cukup untuk menangani isu besar yang berlaku di peringkat nasional.
“Contohnya dulu, pengalaman saya ketika Ops Naga adalah untuk pastikan perairan negara tidak diceroboh kapal nelayan asing. Kita beri tempoh enam bulan dan kita dapat lihat keberhasilannya,” katanya. – UTUSAN