IPOH: Pemain Oppa Korea, Seo Seonung menutup mulut pengkritik dengan dua jaringannya ketika Perak FC menumpaskan Kuching City FC 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Perak di sini semalam.
Tindakan penyerang berusia 21 itu membantu Perak mencatat kemenangan ke atas anak buah Irfan Bakti Abu Salim.
Lebih penting, ia juga adalah kemenangan pertama skuad bimbingan Datuk Lim Teong Kim, yang dikecam teruk berikutan persembahan dalam empat perlawanan termasuk Piala FA bertemu, Sri Pahang FC.
“Seonung membalas kepercayaan Perak FC terhadapnya dengan menyumbang dua gol cantik. Dia membuktikan ketajamannya sekaligus menafikan dia adalah ‘pembelian panik’ oleh kelab ini.
“Begitu juga Obiozor yang semakin menunjukkan kemampuan dan keserasian dengan rakan lain.
“Namun dia masih boleh memberikan sumbangan bermakna untuk pasukan. Berikan masa lagi. Saya tahu dia boleh lakukan yang terbaik lagi,” kata Teong Kim selepas perlawanan semalam.
Jurulatih itu lega dengan keputusan positif itu kerana mengurangkan tekanan berikutan tuntutan tinggi penyokong terhadap pasukan Kejor Yob Kejor.
“Kami cuba tunaikan harapan penyokong, cuma saya berharap mereka bersabar dan tidak terlalu mengkritik pemain.
“Mereka masih muda dan sedang dalam proses belajar, ” katanya.
Dengan kejayaan semalam, Teong Kim yakin anak buahnya mendapat keyakinan baru bagi menghadapi saingan seterusnya terutama untuk pertemuan dengan Sri Pahang FC di Ipoh, Khamis ini.
Perlawanan itu sudah pasti menjadi medan pasukan Bos Gaurus membalas dendam kekalahan 1-2 di tangan skuad Tok Gajah dalam saingan Piala FA musim ini. – UTUSAN