Operasi mencari nelayan dikhuatiri lemas ditamatkan - Utusan Malaysia

Operasi mencari nelayan dikhuatiri lemas ditamatkan

ISMAIL AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot di Perairan Pulau Tenggol, di sini, pada Selasa, terpaksa ditamatkan malam tadi, setelah empat hari pencarian di pengairan ini. 

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, operasi tersebut ditamatkan selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan mengenai kehilangan mangsa, Ismail Awang, 71. 

“Bagaimanapun, pihak Maritim Malaysia akan terus melaksanakan tugas operasi seperti biasa di samping cuba mencari petunjuk-petunjuk baharu yang mungkin menjurus kepada penemuan mangsa. 

“Komuniti maritim termasuk nelayan dan kapal dagang juga turut dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa dan diminta memaklumkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam, Selasa, Ismail dipercayai terjatuh ketika mahu membersihkan diri di bahagian belakang bot ketika dalam perjalanan pulang selepas keluar menangkap ikan bersama dua anak dan lima lagi awak-awak yang lain. 

Rashidilhadi berkata, pencarian mangsa selama empat hari meliputi keluasan 905.44 batu nautika persegi dari Perairan Pulau Tenggol, Dungun hingga ke Perairan Cherating, Pahang. 

“Operasi pencarian melibatkan kira-kira 80 anggota penyelamat dan orang awam meliputi pencarian di laut menggunakan 11 buah bot aset Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Perikanan Malaysia dan persatuan nelayan kawasan sekitar Dungun. 

“Kita juga turut melakukan pencarian melalui udara menggunakan helikopter milik Maritim Malaysia, bagaimanapun, kita tidak berjaya menemukan mangsa,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya