OIB, PKNK bangunkan Bandar Saujana Putra

OIB, PKNK bangunkan Bandar Saujana Putra

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (kanan) menerima cenderamata daripada Tunku Mohamad Zulkifli Osman sempena majlis pecah tanah projek Bandar Saujana Putra di Amanjaya Mall, Sungai Petani. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Oriental Inte­rest Berhad (OIB) terus memberi impak positif terhadap pembangunan daerah Kuala Muda, di sini apabila bakal memba­ngunkan projek Bandar Saujana Putra secara usaha sama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Pengerusi OIB, Tunku Mohamad Zulkifli Osman berkata, komponen utama pembangunan projek itu adalah 40 peratus untuk perumahan manakala 60 peratus pembangunan adalah untuk lot-lot industri dan perniagaan.

Katanya, projek yang diusahakan di atas tanah milik PKNK seluas 484.12 hektar dan 80 hektar lagi adalah hak milik OIB itu merekodkan nilai pemba­ngunan kasar (GDV) berjumlah RM2.5 billion.

“OIB sentiasa memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur yang berkualiti terutama di lot-lot industri dan ianya diyakini mampu menarik minat pelabur dari dalam dan luar yang secara tidak langsung mampu membantu meningkatkan ekonomi negeri Kedah.

“Malah, ia sekali gus membuka ruang kepada generasi muda menceburi bidang-bidang berkaitan yang terhasil daripada limpahan ekonomi yang diwujudkan oleh projek-projek ber­kenaan,” katanya dalam majlis pecah tanah projek berkenaan di Amanjaya Mall, kelmarin.

Perasmian disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Datuk Syed Yussof Syed Othman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali.

Projek yang disasarkan bermula pada suku tahun kedua 2024 bagi pembangunan fizikalnya itu dijangka mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan sepenuhnya. Ia merangkumi 5,400 unit rumah kediaman yang sebahagiannya adalah rumah mampu milik.

Syed Yussof berkata, 1,100 unit daripadanya adalah Rumah Kasih Rakyat, 664 unit Rumah Makmur Kedah dan 500 unit lagi adalah Rumah Aman Kedah selain rumah teres setingkat yang akan dibangunkan seba­nyak 1,855 unit serta 1,318 unit rumah berkembar setingkat.

“Komponen industri pula akan menawarkan 230 lot tanah industri berkonsepkan taman perindustrian yang lengkap de­ngan prasarana asas, sistem kawalan keselamatan, kafeteria, pusat riadah dan dewan serbaguna serta penginapan pekerja berpusat (CLQ),” katanya.

“Untuk komponen komersial, sebanyak 40 unit ruang perniagaan yang akan memberi sokongan kepada persekitaran bandar ini yang kondusif dan berdaya huni akan ditawarkan sebagai pelengkap kepada pembangunan

Bandar Saujana Putra,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berharap, pembangunan projek Bandar Saujana Putra itu dapat diterima baik dan mendapat sokongan dan dokongan semua pihak sama ada agensi kerajaan mahupun swasta, pemimpin setempat dan juga masyarakat sekeliling.

“Pembangunan taman industri ini akan menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dan dengan GDV mencecah RM2.5 bilion ini adalah satu jumlah pelaburan yang sangat menggalakkan,” katanya. -utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN