PETALING JAYA: Tampil berjenaka dalam ruangan Instagram, isteri kepada pelakon, Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri sengaja memuat naik gambar bersama seorang lelaki.
Menerusi hantaran itu, ibu dua anak itu kelihatan mengenakan pakaian sedondon berwarna putih bersama lelaki yang kelihatan persis wajah pelakon Korea Selatan.
Nurul Shuhada juga melayangkan pertanyaan buat dua cahaya matanya sama ada mereka bersetuju dengan pilihan dirinya pada masa akan datang.
“Humairah, Umar, okay tak yang ini? Dua orang dah mata bulat, lepas ini mata sepet?” soalnya berserta tanda pagar #shugurauje #photoshoot.
Isnin lalu, Hafidz berharap ruang berdamai dengan isterinya masih terbuka, malah turut meluahkan rasa rindu terhadap kedua-dua anaknya, Humairah dan Umar.
Tarikh sama, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu memerintahkan Hafidz menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak bagi penilaian psikiatri, bermula 28 Mac depan.
Hafidz dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan menumbuk pipi kiri Nurul Shuhada sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak pada pukul 3.22 pagi, 2 Mac lalu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntuk hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323 tersebut.
Kes akan disebut semula pada 9 Jun ini.