BUTTERWORTH: Seramai 4,261 asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan kewangan serta makanan secara bulanan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) dijangka menerima agihan Nur Ramadan pada tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, secara keseluruhannya, jumlah agihan yang diperuntukan untuk tujuan itu tahun ini adalah sebanyak RM4,028,000.
Katanya, daripada jumlah itu, sumbangan tunai ialah sebanyak RM2,778,000 manakala jumlah selebihnya iaitu kira-kira RM1,250,000 disumbangkan dalam bentuk hamper.
“Ini bermakna, setiap penerima bantuan Nur Ramadan ZPP tahun ini akan menerima wang tunai sebanyak RM700 selain sumbangan hamper bernilai RM100.
“Adalah diharapkan semoga agihan Nur Ramadan ZPP kali ini akan memberi sinar kebahagiaan kepada golongan yang kurang berkemampuan ini khususnya fakir dan miskin di seluruh Pulau Pinang,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Serahan Nur Ramadan Tahun 2023M/1444H yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali di Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam di sini, hari ini.
Pada majlis itu, hampir 500 penerima agihan Nur Ramadan dari seluruh daerah Seberang Perai Utara (SPU) menerima sumbangan masing-masing dengan sebahagian daripada sumbangan wang tunai dikreditkan terus ke dalam akaun simpanan mereka.
Difahamkan, baki agihan tersebut akan dibuat di empat lagi daerah iaitu Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS), Timur Laut dan Barat Daya secara berperingkat.
Dalam pada itu, Amran berkata, ini tahun kedua pihaknya menaikkan jumlah sumbangan tersebut kepada RM700 berbanding hanya RM600 sebelum ini.
“Insya-Allah, kami percaya jumlah ini mencukupi untuk dibelanjakan oleh mereka khususnya sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya yang memberitahu, terdapat sedikit peningkatan dari segi jumlah penerima tahun ini berbanding tahun sebelumnya. – UTUSAN