Nizar menang Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan

Nizar menang Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan

Mohamad Nizar Najib (kanan) yang berjaya menyandang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan berjabat tangan bersama Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (kiri) yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Pekan yang baharu selepas keputusan undian Pemilihan UMNO Bahagian Pekan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Selepas Datuk Mohd Nazifuddin Najib berjaya menyandang Ketua UMNO Bahagian Langkawi dan Nooryana Najwa Najib menyandang Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai dan Exco Puteri UMNO Malaysia, giliran Datuk Mohamad Nizar Najib pula memenangi jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan dalam Pemilihan UMNO Bahagian yang berlangsung semalam.

Anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu sebelum ini menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Pekan selepas diumumkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan yang berlangsung pada enam tahun lalu.

Mohd Nizar memperoleh 771 undi menewaskan Bekas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Pekan sesi 2013 hingga 2018, Asmayudin Uyub yang hanya memperoleh 89 undi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Peramu Jaya dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang itu menggantikan Khairuddin Mahmud yang memegang jawatan itu bagi penggal lalu selepas Khairuddin tidak bertanding pada pemilihan kali ini.

Mohamad Nizar ketika dihubungi Utusan Malaysia berharap kemenangannya itu dapat membantu kepimpinan UMNO Bahagian Pekan terus memperkukuhkan parti keramat itu.

“Saya berharap agar kita dapat kekalkan Status Parlimen dan Kerusi-kerusi Dewan negeri di Pekan sebagai kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Dalam pada itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pula diumumkan sebagai penyandang bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan menewaskan pesaingnya iaitu Timbalan Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly.

Mohamad Fakhruddin memperoleh 449 undi daripada keseluruhan 888 undi menewaskan pesaingnya dengan hanya beza 14 undi di mana Zamry memperoleh 435 undi.

Zamry sebelum ini memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan pada Ogos tahun lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda ke atas Najib.

Mohammad Fakhruddin yang juga merupakan Adun Bebar dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan amanah diberikan kepadanya adalah satu tugas berat yang perlu digalas.

“Saya tidak mampu untuk memperkuatkan parti tanpa sokongan semua pihak dan saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk UMNO Pekan.

“Dalam masa sama, saya menyeru semua pihak, khususnya yang bertanding agar dapat bersama-sama membina semula kekuatan parti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak bahawa keutamaan parti adalah untuk memenangi pilihan raya umum ke-16 (PRU 16) dan mengembalikan semula UMNO sebagai parti disukai rakyat.

“Dalam setiap pertandingan sudah tentulah ada yang menang dan ada yang kalah, sekarang masa untuk kita memandang dan bergerak ke hadapan demi UMNO.

“Kita perlu bersama-sama membina semula UMNO dan mengelakkan sebarang perselisihan yang akhirnya akan melemahkan parti yang kita sayangi ini,” katanya.

Sementara itu, jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian disandang oleh Datuk Ahmad Rahimi Abdul Samad yang sebelum ini menyandang jawatan Bendahri UMNO Bahagian Pekan menewaskan pesaingnya, Adun Chini, Mohd Sharim Md Zain.

Mohd Sharim tewas kepada Ahmad Rahimi dengan beza 171 undi di mana Ahmad Rahimi memperoleh 521 undi dari 883 jumlah undian yang diberikan.- utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya