Netizen jangan jadi 'nasi tambah' isu rumah tangga artis

Netizen jangan jadi ‘nasi tambah’ isu rumah tangga artis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjadi ‘nasi tambah’ dan mengeluarkan bermacam-macam komen negatif terhadap isu rumah tangga artis yang menjadi topik hangat sejak kebelakangan ini.

Penceramah bebas, Syamsul Debat berkata, netizen juga perlu memainkan peranan menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak mengeruhkan lagi keadaan.

“Hati-hati dalam memberikan komen terhadap isu rumah tangga artis. Tukang komen seperti hari-hari duduk bersama di rumah mereka. Sekalipun mereka tahu masalah yang berlaku, adakah wajar perkara itu digembar-gemburkan?

“Sebagai netizen beri komen yang positif dan membina. Dalam perhubungan ini mudah sahaja, kalau betul tak betul semua. Kalau salah tak salah semua,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Syamsul menyarankan golongan selebriti supaya tidak mendedahkan kisah rumah tangga dan ‘masalah dalam kain’ kepada khalayak ramai apatah lagi kepada pihak media.

Katanya, situasi itu hanya membuka ruang orang ramai masuk campur dan menjadi ‘nasi tambah’ kepada isu dalaman yang hanya diketahui oleh suami dan isteri sahaja.

“Mudah sahaja hal dalaman rumah tangga macam-macam orang boleh bagi pandangan. Namun, akhirnya suami dan isteri itu sahaja yang lebih mengetahui masalah dalaman mereka.

“Tak usah heboh panggil media dan nak cerita pada semua orang. Ada pula yang siap rakam video bila bergaduh dengan suami. Kalau sekali atau dua kali kongsi mungkin tidak mengapa, tapi lama-lama orang akan jadi meluat,” katanya.

Mengulas lanjut, Syamsul berkata, apabila seseorang pasangan melondehkan masalah rumah tangga mereka, sebenarnya masalah itu akan berbalik pada diri sendiri.

“Sebenarnya kita tak sedar satu jari tunjuk pada orang, empat jari tunjuk pada diri sendiri. Pokok pangkal jangan cerita isu rumah tangga pada orang luar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya