Nelayan hilang hampir 12 jam ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Nelayan hilang hampir 12 jam ditemukan lemas

ANGGOTA pasukan penyelamat mengusung mayat Mahamad Haron yang ditemukan lemas di   Sungai Setiu dekat Kampung Baru Penarik, Setiu, Terengganu. - UTUSAN/ TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Misi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dikhuatiri lemas di Sungai Setiu dekat Kampung Baru Penarik, di sini, berakhir dengan penemuan mayat mangsa selepas hampir 12 jam dilaporkan hilang.

Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Husin, mayat Mahamad Haron, 63, ditemukan dalam keadaan terlungkup di permukaan sungai tersebut pada pukul 6.40 petang.

Beliau berkata, operasi carilamat disertai 54 anggota pelbagai agensi selain lebih 50 orang penduduk kampung serta dua ekor anjing Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

“Mayat mangsa telah ditemukan sejauh kira-kira 1.3 kilometer dari botnya yang dijumpai malam tadi.

“Siasatan awal mendapati mangsa mati akibat lemas selepas terjatuh daripada bot dipandunya yang mengalami masalah teknikal.

“Saya menasihatkan khususnya nelayan agar mengutamakan aspek keselamatan dan memakai jaket dalam sebarang keadaan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya ketika ditemui di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 7 malam semalam, Mahamad dikhuatiri lemas ketika sedang menguji bot gentian kacanya sebelum dilaporkan hilang setelah tidak pulang ke rumah oleh isterinya, Kamriah Ali, 65.

Sementara itu, Kamriah ketika ditemui berkata, dia pergi ke kawasan jeti pada pukul 8 malam semalam selepas suaminya tidak pulang ke rumah dan hanya menemui motosikal mangsa manakala botnya tiada di situ.

“Sejak Maghrib lagi saya tidak sedap hati sambil menunggu kepulangan suami dan selepas menunaikan solat, saya berjalan kaki ke jeti yang terletak 450 meter dari rumah.

“Suami ada memberitahu mahu pergi memukat udang di pesisir pantai hari ini bersama rakannya dan saya terus ke rumah rakannya itu.

“Namun tiada siapa yang tahu lokasi suami sebelum penduduk kampung turut mencari Mahamad dan menjumpai botnya tersadai di kawasan pokok bakau,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya