Najib menulis nasib malangnya sendiri

Najib menulis nasib malangnya sendiri – Hakim

KENDERAAN membawa Najib Tun Razak keluar dari Istana Kehakiman di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Nasib malang yang menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditulis oleh beliau sendiri.

Dapatan majoriti tersebut dibuat oleh tiga Hakim Mahkamah Persekutuan dan seorang hakim Mahkamah Rayuan ketika menolak permohonan bekas ahli Parlimen Pekan itu untuk mendapatkan kebenaran untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman yang dihadapinya berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.

Penghakiman majoriti itu membabitkan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Ketua panel tersebut, Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli menentang penghakiman itu.

Menurut Hakim Vernon, walaupun panel terbabit cenderung untuk mengambil pendekatan berbeza, mereka tidak dapat berbuat demikian kerana alasan yang dikemukakan tidak berkaitan dengan permohonan kebenaran semakan itu.

“Penggunaan Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 oleh pihak yang tidak berpuas hati sedangkan tiada alasan istimewa dan unik untuk membolehkan boleh menjurus kepada salah guna proses mahkamah. Perlu kami tekankan bahawa Aturan 137 ini tidak boleh sekali-kali digunakan untuk menyalahgunakan proses mahkamah.

“Atas alasan tersebut, kami berpendapat bahawa permohonan semakan tidak mempunyai peranan lain selain mencabar merit keputusan Mahkamah Persekutuan,”katanya.

Terdahulu ketika membacakan penghakiman majoriti tersebut, Hakim Vernon memberitahu, Mahkamah Persekutuan terdahulu telah membuat dapatan yang betul berdasarkan bukti yang dikemukakan menjadikan hujah Najib mengenai memasukkan bukti baharu tidak boleh dipertahankan dan tidak mempunyai merit.

Selain itu, berhubung tindakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim terdahulu tidak memberikan penangguhan ada tepat kerana mahkamah mempunyai budi bicara penuh sama ada hendak memberikan penangguhan atau sebaliknya.

Tambah Hakim Vernon, panel hakim terdahulu telah menggunakan bidi bicara mereka mengikut lunas undang-undang dan hak pemohon (Najib) tidak diketepikan.

Berhubung isu sabitan dan hukuman, panel hakim majoriti menyatakan panel terdahulu telah mengambil kira 94 alasan yang dikemukakan Najib dalam petisyen rayuannya, hujah bertulis dan nota prosiding serta keterangan.

Oleh itu, panel hakim majoriti tidak menemukan sebarang merit untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu.

“Pemohon (Najib) menyatakan bahawa hak beliau telah dicabuli. Bagaimanapun adalah jelas, pemohon merupakan penulis kisah malangnya sendiri. Kami tidak menemukan sebarang alasan untuk menyemak sebarang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan terdahulu,”kata Hakim Vernon.

Selepas membaca penghakiman ringkas itu, Mahkamah Persekutuan hari ini dengan keputusan majoriti 4-1 menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran menyemak keputusan panel hakim terdahulu.

Pada 23 Ogos 2022, Hakim Tengku Maimun bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (ketika itu) dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah mengesahkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Dengan keputusan tersebut, Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada hari yang sama. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya