KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sudah pun ‘ditangkap’ walaupun siasatan oleh pihak berkuasa masih belum lengkap.
Takiyuddin yang juga antara panel peguam yang akan membantu bekas Perdana Menteri itu dalam kes pendakwaan salah guna kuasa yang akan dihadapinya esok berkata, terdapat beberapa kemusykilan mengenai kes tersebut.
Menurut beliau, Muhyiddin daripada segi undang-undang sudah pun ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun diberi ‘jaminan mulut’ untuk keluar sebelum menghadapi kes pendakwaan ke atasnya.
“Beberapa ‘keajaiban’ sudah berlaku pada kes yang bakal dihadapi Muhyiddin iaitu jarang-jarang pertuduhan dikenakan kepada seseorang yang tertuduh pada hari Jumaat iaitu hari paling sibuk di pejabat kerajaan termasuk mahkamah.
“Mahkamah memerlukan masa untuk menguruskan jaminan dan sebagainya. Apa kata kalau mahkamah esok sibuk tidak boleh menguruskan jaminan kepada orang yang dituduh, sudah tentulah dia akan direman sehingga akan dikemukakan pada hari Isnin akan datang,” katanya ketika berucap selepas majlis solat hajat yang diadakan oleh parti tersebut untuk keselamatan negara dan solidariti menentang kezaliman.
Terdahulu, Muhyiddin mendedahkan bakal berdepan tujuh pertuduhan mahkamah bermula esok sejurus beliau keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sebentar tadi.
Menurutnya, pendakwaan terpilih terhadapnya merupakan satu tindakan politik yang berniat jahat semata-mata mahu melumpuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Muhyiddin diambil kenyataan terhadap tuduhan-tuduhan yang bakal dikenakan padahal sudah pun ‘ditangkap’ dan dihadapkan ke mahkamah.
Jelasnya, sesuatu pertuduhan hanya akan dibawa ke mahkamah dengan kebenaran daripada Peguam Negara iaitu selepas semua siasatan diselesaikan.
“Kenyataan diambil pada hari ini, pertuduhan di bawa esok. Jadi semua boleh menilai apa rupa bentuk pertuduhan dan proses yang dikenakan,” katanya.