KUALA LUMPUR: Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) menyediakan program sokongan bahan mentah iaitu dana pusingan sebanyak RM16 juta sebagai pinjaman tanpa faedah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha tersebut bagi membolehkan usahawan bumiputera membuat perolehan bahan mentah kayu dalam pembuatan perabot dan produk bernilai tinggi.
Menurut beliau, pembiayaan tersebut akan diberikan kepada usahawan bumiputera yang mempunyai kontrak kerja sudah dimuktamadkan dan masih berkuat kuasa.
“Sebanyak 139 kelulusan pinjaman yang diluluskan oleh MTIB kepada 42 syarikat dengan nilai keseluruhan pinjaman berjumlah RM29.4 juta daripada tahun 2012 hingga 2022 manakala jumlah nilai kontrak kerja yang berjaya dimuktamadkan daripada pinjaman ini adalah berjumlah RM197.5 juta,” katanya semasa berucap di majlis sambutan Jubli Emas 50 Tahun MTIB di Malaysia Grand Bazaar, di sini.
Fadillah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, penganjuran Wood and Lifestyle Fair memberi impak positif kepada usahawan bumiputera apabila membantu melipat gandakan nilai jualan mereka melalui penyertaan dalam program pameran tersebut.
“Program yang dianjurkan di beberapa buah negeri seperti Kuala Lumpur, Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka dan Sabah pada setiap tahun semenjak dilancarkan pada tahun 2016.
“Hasilnya adalah amat menggalakkan di mana daripada tahun 2016 hingga ke 2022 dengan nilai penganjuran berjumlah RM5.8 juta, usahawan bumiputera berjaya mencipta jualan sehingga RM52.5 juta iaitu pulangan hampir 10 kali ganda melalui penyertaan pameran dalam program tersebut,” jelasnya.
Tambahnya, MTIB akan terus mempergiat usaha dalam pasaran eksport dengan melaksanakan program yang melibatkan usahawan di pameran antarabangsa dan misi teknikal serta akses pasaran ke luar negara.
“Dengan adanya data pemprofilan usahawan yang sedang diusahakan oleh MTIB dapat memastikan usahawan yang benar-benar bersedia ke pasaran eksport diberi bimbingan yang bersesuaian termasuk aspek reka bentuk produk dan negara pasaran yang akan diterokai,” katanya. –utusan