ALOR SETAR: Tiga lelaki ditahan kerana memiliki senjata api tanpa lesen berupa senapang patah, peluru hidup dan busur buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk aktiviti memburu.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, lelaki berusia 20 hingga 32 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua rumah berasingan dekat Padang Terap hasil maklumat awam pada Selasa minggu lalu.
“Dalam kedua-dua serbuan tersebut pihak polis menahan tiga lelaki warga tempatan dan merampas dua laras senapang patah, peluru hidup dan busur buatan sendiri.
“Peralatan terbabit dipercayai digunakan untuk memburu hidupan liar di kawasan tersebut sebagai sumber pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
“Dua daripada tiga suspek yang ditangkap dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Isnin lalu,” katanya.
Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membeli atau memiliki sebarang senjata api tanpa lesen yang sah.
Sebaliknya jelas beliau, mereka perlu bersama membantu pihak polis dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pemilikan atau penjualan senjata api dan perlakuan jenayah melalui talian MERS 999. – UTUSAN