Menu Siswa Rahmah bukti UKM cakna siswa

Menu Siswa Rahmah bukti UKM cakna siswa

MOHAMED Khaled Nordin ketika melakukan lawatan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 16 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH menjadi tanggungjawab Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk sentiasa merencanakan usaha pemantapan modal insan dalam kalangan graduan; meliputi aspek-aspek seperti intelek, rohani, emosi, dan jasmani supaya proses pembangunan mahasiswa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sendiri, lebih daripada 30 peratus daripada keseluruhan 31,000 pelajarnya adalah dari golongan B40.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam lawatan ke UKM pada 16 Mac 2023, telah menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa supaya sentiasa tersedia dan terpelihara.

Menu Siswa Rahmah Bukti KPT Cakna
Menu Siswa Rahmah merupakan inisiatif terkini pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan menawarkan sajian pada harga serendah RM3.50 di 20 universiti awam dan politeknik di seluruh negara.

Inisiatif ini sejajar dengan hasrat UKM yang mahu memastikan tidak ada seorang pun mahasiswa yang terabai dalam menerima bantuan.

Sebelum ini, UKM telah membelanjakan hampir RM250,000 menerusi inisiatif pemberian moratorium sewaan premis kafe selama enam bulan semenjak tahun 2022.

UKM turut beruntung kerana prakarsa menu siswa ini disokong oleh para alumni, pembayar zakat serta filantropi yang banyak menyumbang kepada universiti.

Terkini, inisiatif baharu melalui bantuan kepada pelajar B40 sehingga RM1,000 telah diperkenalkan dan permohonan bantuan kini turut dipermudah melalui proses permohonan sepenuhnya secara dalam talian melalui Aplikasi E-PRIHATIN UKM.

Lebih 1,000 orang pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan ini. Pelbagai inisiatif lain juga diamal dan diuruskan oleh UKM bagi memastikan tiada mahasiswa yang tertinggal dalam agenda kebajikan pelajar.

Selain Menu Siswa Rahmah KPT yang telah pun tersedia di hampir kesemua kafeteria asrama dan juga beberapa lokasi penjualan makanan utama di sekitar kampus, UKM turut meneruskan Skim Tabung Kebajikan Pelajar (STKP), Skim Tabung Endowmen Bantuan Pelajar (STEBP), Skim Takaful Berkelompok, Bantuan Makanan serta Pengagihan Peranti Siswa, Kad Prihatin Siswa dan pengurusan pelbagai tajaan dan biasiswa pendidikan.

Autonomi Mahasiswa
Dalam Perutusan Tahun Baharu 2023 yang disampaikan olehYB Menteri Pendidikan Tinggi baru-baru ini, para mahasiswa disarankan agar lebih berdikari dalam menguruskan kewangan, keperluan dan kebajikan sendiri.

Justeru, UKM amat menghargai kepercayaan yang diberi oleh pihak KPT untuk bertindak sebagai universiti perintis dalam melaksana Projek Pemerkasaan Mahasiswa.

Beberapa komponen Autonomi Mahasiswa dalam agenda pemerkasaan ini juga telah mula dilaksanakan oleh UKM termasuk autonomi pengurusan aktiviti pelajar, autonomi pengurusan geran atau dana kewangan pelajar dan autonomi pengurusan pemilihan majlis perwakilan pelajar.

Pemantapan Modal Insan
Nilai keprihatinan yang terkandung dalam kerangka TERAS UKM bukanlah suatu perkara yang baharu, kerana sudah menjadi adat sebuah Universiti Watan untuk terus berjasa kepada masyarakat tanpa mengira pangkat, bangsa dan agama.

Maka tidak hairanlah sekiranya UKM akan sentiasa tampil ke hadapan dalam melaksanakan apa jua inisiatif yang memberi manfaat kepada para mahasiswa.

Kebajikan mahasiswa merupakan suatu tanggungjawab moral yang sentiasa menjadi tumpuan utama pentadbiran universiti dan akan dilaksanakan secara berterusan.

Justeru, usaha pemantapan modal insan ini akan sentiasa dilestarikan agar para mahasiswa mampu menumpukan sepenuh daya usaha untuk mengukir kejayaan yang membanggakan, demi kemakmuran masyarakat dan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya