BUTTERWORTH: DAP melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan orang Melayu akan hilang kuasa sepenuhnya di negara ini selepas dua kali pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kenyataan itu tidak selari dengan status Dr. Mahathir sebagai tokoh negarawan yang juga pernah dua kali menjadi pemimpin utama negara termasuk ketika didokong oleh Pakatan Harapan (PH) sewaktu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Malah, beliau turut menegaskan situasi orang Melayu hilang kuasa seperti didakwa Dr. Mahathir tidak berlaku ketika ini yang mana Perdana Menteri; majoriti Menteri serta kebanyakan institusi negara diterajui dan dipimpin oleh orang-orang Melayu.
“Kita berharap Dr. Mahathir boleh memainkan peranan dengan lebih konstruktif daripada setiap hari mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang dilihat bukan sahaja tidak membantu, malah mengapi-apikan sentimen perkauman.
“Ini sesuatu yang tidak baik untuk negara, beliau sepatutnya menggunakan pengaruh yang dimiliki untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan membantu menarik lebih banyak pelaburan serta minat (dunia luar) untuk memajukan negara, bukannya memainkan sentimen perkauman yang direka-reka,” katanya.
Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2023 di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai kenyataan Dr. Mahathir pada 4 Mac lalu yang memberi amaran kaum Melayu akan hilang kuasa sepenuhnya di negara ini selepas dua kali PRU.
Kenyataan itu dibuat Dr. Mahathir ekoran suasana politik ketika ini yang mana kekuatan dominan kaum pribumi tersebut semakin teruk terhakis setelah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Dr. Mahathir dilaporkan berkata, penguasaan ekonomi orang Melayu sudah lama tiada termasuk kuasa politik ketika ini, justeru berpendapat keadaan negara akan menjadi lebih buruk pada PRU-16 dan PRU-17.
Dalam pada itu, Anthony Loke turut menyifatkan dakwaan yang dibuat Dr. Mahathir itu adalah `permainan lama’ oleh bekas Perdana Menteri berkenaan dalam menakut-nakutkan orang Melayu.
Malah, katanya, Dr. Mahathir sendiri turut berdepan dakwaan serupa ketika beliau menjadi Perdana Menteri suatu ketika dulu, sekali gus sepatutnya menyedari dakwaan seperti itu adalah permainan politik yang dilemparkan pihak lawan kepada Kerajaan Perpaduan yang wujud ketika ini. – UTUSAN