PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa kaum Melayu akan hilang kuasa sepenuhnya di negara ini selepas dua kali pilihan raya umum (PRU) kelak.
Peringatan itu disuarakan bekas Perdana Menteri itu ekoran suasana politik ketika ini yang menurutnya, kekuatan dominan bangsa pribumi tersebut semakin teruk terhakis setelah PRU15 lalu.
“Penguasaan ekonomi sudah lama tiada dan sekarang kuasa politik, saya berpendapat PRU16 dan PRU17 nanti keadaan negara akan lebih buruk,” katanya dalam sidang akhbar selepas berucap sebagai ahli panel Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang?, di sini hari ini.
Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu dalam nada bimbang membayangkan bahawa kaum Melayu tidak akan lagi menjadi perdana menteri setelah dua kali PRU nanti.
Mengulas lanjut, Mahathir menjelaskan, Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang dijangka melakukan perubahan besar dari segi isu persempadanan kawasan pilihan raya.
“Jumlah kawasan pengundi majoriti Melayu akan berkurangan, manakala kawasan ramai bukan Melayu bakal bertambah banyak dan ini beri kesan kepada corak politik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan bakal perdana menteri selepas PRU17 kelak akan diwakili kaum bukan Melayu yang menguasai sebahagian besar kerusi di seluruh negara, apatah lagi parti-parti dominan Melayu dalam kerajaan hari ini sudah berpecah kepada tiga dan kesemuanya cukup lemah hingga terpaksa bergantung ihsan DAP.
Mahathir, 97, turut kecewa kerana politik Melayu pada ketika ini diselubungi rasuah termasuk pembelian undi oleh ejen parti tertentu untuk menang dengan cara kotor.
Beliau memberi contoh kekalahan besar dirinya di kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15 apabila ada wakil dari calon lawan menyogok pengundi dengan bayaran semurah RM100.
“Saya sendiri terkejut kerana dia mengaku sanggup mengundi parti itu disebabkan ‘upah’ dan lupa segala jasa saya sepanjang menjadi wakil rakyat di pulau tersebut,” katanya. – UTUSAN